Perancangan kerjaya merupakan satu proses berterusan yang bermula sejak di bangku sekolah dan berlanjutan sehingga ke alam persaraan. Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, pemilihan bidang pendidikan dan kerjaya menjadi lebih rumit disebabkan oleh perbezaan minat, kebolehan serta potensi setiap individu. Tambahan pula, pembangunan pesat negara telah membuka pelbagai cabang baharu dalam bidang pendidikan dan pekerjaan yang memerlukan pengkhususan tertentu.
Melalui pelaksanaan program ini, para pelajar akan diberikan pendedahan awal berkaitan laluan pendidikan selepas peperiksaan SPM. Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama MARA akan menyediakan ruang pameran IPMA bagi membantu pelajar memahami dengan lebih jelas pilihan pengajian serta prospek kerjaya yang boleh diceburi pada masa hadapan.
Memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan menetapkan hala tuju sejak di peringkat sekolah.
Membantu pelajar mengenal pasti peluang melanjutkan pengajian selepas tamat SPM.
Menyediakan persediaan awal kepada pelajar dalam menghadapi dunia pekerjaan melalui pemilihan kursus yang bersesuaian di IPT atau IPTS.
Mendorong pelajar meningkatkan motivasi diri serta pencapaian akademik agar layak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha memajukan diri tanpa mengira latar belakang.
Memberikan maklumat berkaitan syarat kelayakan dan keperluan akademik bagi melanjutkan pelajaran.
Mendedahkan pelajar kepada peluang dan kemudahan pendidikan yang ditawarkan oleh pihak MARA.
Pelajar Melayu dan Bumiputera
Pelajar lepasan SPM serta pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dari sekolah-sekolah menengah sekitar lokasi program
Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan seseorang individu, khususnya dalam meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan sosial. Ia menjadi asas utama kepada pembangunan sesebuah masyarakat kerana melalui pendidikan, ilmu pengetahuan dapat disebar dan dimanfaatkan secara meluas.
Selain itu, sistem pendidikan yang berkualiti mampu membantu menangani pelbagai isu sosial seperti kemiskinan dan gejala negatif dalam masyarakat. Dengan adanya pendekatan program yang tersusun, pelajar diharap dapat memperoleh dorongan baharu untuk lebih fokus dalam pelajaran serta berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
Program Selangkah Ke Universiti ini dilaksanakan bagi memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pelajar tentang peluang pendidikan yang disediakan oleh MARA. Di samping itu, program ini bertujuan meningkatkan semangat dan kesungguhan pelajar, sama ada lepasan SPM mahupun calon SPM, agar lebih bersedia dalam merancang masa depan mereka.
Diharapkan program ini dapat memberi manfaat yang besar kepada para peserta serta berjaya dilaksanakan dengan lancar. Semoga segala usaha yang dirancang ini dipermudahkan dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.